Sunday , 17 December 2017
Home » Informasi » Cara Kekal Bertenaga Ketika Berpuasa

Cara Kekal Bertenaga Ketika Berpuasa

Selamat berpuasa semua. Ingin tahu cara kekal bertenaga ketika berpuasa?

Mungkin antara salah satu cabaran utama individu yang berpuasa adalah untuk kekal bertenaga sehingga waktu berbuka. Lebih-lebih lagi dengan cuaca panas di Malaysia, badan akan mudah letih bila kurang minum air. Tetapi cuaca bukan alasan untuk anda ponteng puasa tau.

Cara Kekal Bertenaga Ketika Berpuasa

Memandangkan sewaktu berpuasa, anda hanya makan pada waktu bersahur dan berbuka, anda perlu memberi tumpuan kepada jumlah pengambilan air dan juga kandungan nutrien dalam makanan yang anda ambil. Pengambilan bekalan air yang mencukupi penting agar tubuh tidak kekurangan air atau dehidrasi. Badan yang kekurangan air akan mudah berasa letih dan sukar fokus. Anda juga akan kerap merasa sakit atau pening kepala. Dan jika dibiar berlarutan, anda juga boleh pengsan akibat kurang minum air.

Cara Kekal Bertenaga Ketika Berpuasa

Jadi untuk memastikan anda bertenaga sepanjang bulan puasa, Notainfo kongsikan beberapa tips yang boleh anda amalkan di bulan Ramadan ini.

1) Pastikan anda minum air secukupnya. Kalau boleh kekalkan minum 8 gelas air sehari iaitu dari tempoh berbuka sehingga bersahur. Berbuka dengan makanan yang kaya dengan air seperti sup atau buah-buahan dan sayur-sayuran. Contohnya seperti timun dan tembikai.

2) Elakkan minuman berkarbonat dan berkafein sewaktu bersahur. Minuman yang tinggi kandungan gula akan membuatkan paras insulin meningkat dan menyebabkan hipoglisemia selain membuatkan anda cepat terasa lapar. Minuman berkafein juga menyebabkan tubuh kehilangan lebih banyak air dan menjadi punca dehidrasi.

3) Anda juga perlu mengurangkan pengambilan garam atau makanan yang terlalu masin kerana ia akan membuatkan anda cepat berasa haus.

Antara contoh pilihan makanan yang sesuai :

Sewaktu Berbuka Puasa:

  • Pilih makanan dan minuman yang tinggi kandungan air seperti bubur, sup dan buah-buahan. Anda juga perlu lebihkan buah-buahan kering seperti kurma, kismis, prun dan sebagainya kerana ia kaya dengan gula semulajadi dan membantu membekalkan tenaga segera.
  • Anda juga boleh berbuka dengan makanan berkanji seperti pasta dan bijiran ataupun sup yang mengandungi kekacang. Apa yang penting adalah makanan yang seimbang sewaktu berbuka, iaitu makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks, tenusu, buah-buahn dan sayur-sayuran, kekacang atau bijirin, daging atau ayam, ikan dan juga telur.

Sewaktu Bersahur

  • Minum air secukupnya dan elak minuman dan makanan yang tinggi kandungan gula dan garam.
  • Pilih makanan yang kaya dengan protein dan berserat tinggi kerana makanan sebegini akan dihadam secara perlahan jadi anda akan berasa kenyang untuk tempoh yang lebih lama.
  • Antara contoh makanan yang boleh anda ambil adalah bijirin seperti oat, susu, yogurt, telur dan sebagainya. Elak mengambil makanan berkeju dan daging proses yang kebiasaannya mengandungi kandungan garam yang agak tinggi.

Biarpun anda berpuasa, anda tetap perlu bersenam untuk memastikan badan kekal cergas dan bertenaga. Lakukan senaman ringan sekadar berjalan kaki. Senaman akan membantu melancarkan proses penghadaman dan mengelak dari badan merasa mudah lesu.

Anda juga perlu mendapat waktu tidur yang mencukupi. Kurang tidur boleh mengakibatkan anda berasa tertekan dan menjadi punya masalah kesihatan yang lain.

Jika anda tetap berasa letih, lesu dan kurang bertenaga, anda boleh ambil suplemen atau vitamin untuk membekalkan tenaga tambahan. Jika was-was dengan vitamin atau suplemen yang dijual dipasaran, elok anda dapatkan nasihat dari doktor atau pakar pemakanan.

Semoga artikel Cara Kekal Bertenaga Ketika Berpuasa ini dapat anda jadikan panduan untuk menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan dengan sempurna.

sumber: majalah jelita

 

(Visited 68 times, 1 visits today)
ARTIKEL POPULAR HARI INI
loading...